30 November 2011

BUDAYA & NILAI

Budaya sekolah merupayakan salah satu faktor yang membezakan sekolah dan menjadi penentu pada keberkesanan sekolah(Bolman & Deal, 1991; Huberman, 1992; Sharifah Md Nor, 2000). Memandangkan budaya dibentuk oleh warganya, maka budaya boleh berubah dan orang yang paling berpengaruh untuk
mengubah dan mencorakkan budaya sekolah ialah kepemimpinan sekolah (Deal & Peterson, 1999; Sergiovanni, 2000).
Budaya merangkumi nilai, kepercayaan, tingkah laku dan objek-objek material yang meliputi cara hidup sesuatu kelompok manusia tertentu (Schein, 1985). Budaya ialah perkara yang kita fikirkan, perkara yang kita percayai, perkara yang kita nilai, perkara yang kita ada (Sharifah Md Nor, 2000), dan cara individu berinteraksi serta berkelakuan (Jainabee Mohd. Kassim & Robiah Sidin, 2005; Sharifah Md Nor, 2000; Harggreaves, 1995). Sehubungan dengan itu, budaya sekolah ditakrifkan sebagai cara hidup sekolah yang meliputi segala amalan sekolah sama ada di luar dan di dalam bilik darjah, yang mencerminkan nilai, kepercayaan dan norma yang dikongsi bersama oleh warganya.
Budaya sekolah ini ada yang diwarisi dan ada yang dibentuk oleh warganya sendiri. Nilai dan kepercayaan sekolah dicerminkan melalui simbol, upacara dan istiadat, bentuk komunikasi, sikap warga, amalan pengajaran dan pembelajaran, peraturan sekolah, keceriaan sekolah, artifak yang ditonjolkan, visi dan misi sekolah, serta hubungan warga sekolah yang menjadi amalan atau cara hidup sekolah (Sharifah Md Nor 2000).
Mengikut Harris (2002), Hopkins (2001) Sergiovanni (2000), Sarason (1996), Deal dan Peterson (1994), Hargreaves (1994), budaya sekolah merupakan komponen yang sangat penting untuk memajukan sekolah iaitu dengan memastikan budaya sekolah positif dan memberi perhatian kepada ibu bapa, guru, dan pelajar. Sehubungan itu Sergiovanni (2000), menyarankan agar budaya sekolah dijadikan sebagai alat penting untuk menghasilkan persekitaran penyayang, mencapai matlamat sekolah, dan meningkatkan pencapaian pelajar. Oleh itu, kajian dan analisis berkaitan budaya sekolah adalah sesuai dengan konteks semasa dengan andaian semua warga sekolah yang rasional berhasrat memajukan sekolah.

Selain itu juga, Budaya sekolah ditentukan oleh nilai dan keberkesanan yang menjadi asas dalam Visi sekolah. Di sini, kumpulan kami akan membincangkan dengan lebih lanjut lagi bagaimana nilai dalam dibentuk semasa proses pengajaran dan sejauhmanakah kefahaman guru mengenai nilai matematik.

No comments:

Post a Comment