23 November 2011

BUDAYA SEKOLAH

Budaya sekolah selalunya dihuraikan dengan ‘inilah cara kita melakukan kerja di sini’. Budaya sekolah merangkumi norma, peraturan, idea serta pelbagai perkara lain, dan kesemuanya diterima dan dipraktiskan di sesebuah sekolah. Budaya merangkumi peraturan yang tidak tertulis serta juga tradisi, norma dan ekspektasi (Deal dan Petterson, 1999; Prosser, 1999). Kesemua elemen ini adalah penting dalam menghuraikan sesuatu perkara ataupun perlakuan (Deal dan Petterson, 1999). Sebahagian penulis menggunakan perkataan etos bagi menghuraikan budaya (Donnelly, 1999). Etos sekolah menjelaskan mengenai matlamat yang perlu dicapai, perkara yang boleh dilakukan serta perkara yang tidak boleh dilakukan.
Tambahnya, etos sesebuah sekolah adalah dipengaruhi oleh pelbagai faktor, antaranya identiti budaya ahlinya, tradisi organisasi, agama serta personaliti ahli-ahli. Setiap individu akan bersosialisasi ke arah menerima dan mengikuti sesuatu budaya dan kebiasaannya proses ini berlaku tanpa disedari. Dengan lain perkataan, setiap ahli di sesebuah sekolah akan bergerak bersama-sama dalam satu budaya yang diterima oleh kebanyakan ahlinya. Boleh dikatakan bahawa budaya sesebuah sekolah boleh mengeratkan hubungan sesama ahlinya. Disamping itu, budaya sekolah juga akan mempengaruhi setiap komponen yang wujud di sesebuah sekolah, antaranya topik perbualan antara guru-guru semasa waktu rehat di kantin sekolah, bentuk-bentuk arahan yang akan dihargai, perkembangan kakitangan yang dilalui serta kepentingan proses pembelajaran pelajar (Deal dan Peterson, 1999).
Walaupun wujud perbezaan istilah sama ada budaya ataupun etos, elemen penting yang wujud dalam kedua-duanya adalah, wujud pelbagai perkara seperti identiti budaya masyarakat sekolah, tradisi sekolah, agama serta personaliti dan kesemua elemen ini saling berinteraksi di dalam persekitaran sekolah.

No comments:

Post a Comment